Pengasuh
dakwa budak lebam dipukul hantu
KUALA LUMPUR:
Dipukul hantu. Itu helah digunakan sebuah pusat asuhan di Wangsa Maju, di sini,
selepas seorang bayi berusia enam bulan yang dijaga lebam di muka angkara
tindakan pekerja pusat itu. Ibu mangsa, Azizah
Abdullah, 31, berkata, kecederaan pada muka anak bongsunya itu disedari ketika
mengambil bayinya di pusat asuhan jam 8 malam pada 10 Julai lalu.
Menurutnya, tanpa bertanya, seorang pekerja pusat asuhan
itu berusia awal 20-an menerangkan anak perempuannya dipukul hantu menyebabkan
dia sangsi dengan penjelasan berkenaan.
Katanya,
selepas disoal dan didesak beberapa kali, pekerja terbabit menyatakan
kanak-kanak lain pula yang mencederakan anaknya namun kesan lebam pada muka
anaknya bersaiz besar dari mata hingga ke rahang.
“Selepas balik rumah, saya menunjukkan kesan lebam itu
kepada suami sebelum kami membawanya ke klinik dan sangkaan saya tepat apabila
doktor mengesahkan kesan lebam itu bersaiz ukuran jari orang dewasa.
“Sebaik menerima laporan perubatan, saya menghubungi
pemilik pusat asuhan itu namun dia enggan bertanggungjawab mahupun meminta maaf
di atas kecuaian pihak mereka,” katanya ketika ditemui di Jalan Tun Razak,
semalam.
Beliau
berkata, sebaik pulang ke rumah, dia menyoal anak sulungnya yang berusia lapan
tahun yang dihantar ke pusat asuhan sama dan anaknya menyatakan adik
perempuannya itu menangis tanpa henti sejak petang pada hari kejadian.
Lebih mengejutkan, bayi itu turut ditinggalkan
bersendirian dalam bilik berikutan tidak berhenti menangis dan percaya dia
ditampar seorang daripada pekerja pusat asuhan berkenaan.
Katanya,
anak sulungnya memaklumkan bukan sahaja bayi berkenaan menjadi mangsa lepas
geram pekerja namun seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia dua tahun sering
dipukul pekerja sama.
Beliau berkata, disebabkan tidak puas hati dengan
kecuaian pusat asuhan terbabit dia membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju
untuk tindakan lanjut.
“Saya berharap polis mengambil tindakan sewajarnya ke
atas pengurusan pusat asuhan terbabit yang bertindak kejam ke atas
kanak-kanak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala
Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan
kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.
Nota
Kaki :
Ape Cer?? Sekarang ni kes penderaan kanak2 di pusat asuhan semakin
menjadi2. Kesian, mentang2 budak tu xpandai cakap, korang buat macam2 kat dia
yer.. Mental ke hape?? Risau jugak memikirkan macamana pulak dengan layanan yang diberi pada
anak2 saya di taska.. Harap yang baik2 saja sebab setakat ni saya tengok anak2
semangat je diorang nak gi 'sekolah' (anak2 panggil taska tu sekolah). Tawakal
je la, kita memang xnampak ape diorang buat, tapi Allah Taala Maha Melihat.